Khamis, 18 Disember 2008

Salah Memilih Hiburan

Salam Ukhuwwah Buat Pemuda Pemudi Islam.......

"Tidak akan berganjak kaki Bani Adam dari tempat berdirinya pada hari kiamat melainkan setelah disoal tentang 3 perkara, ke mana umurnya dihabiskan?, ke mana hartanya di nafkahkan? dan bagaimana ilmunya dimanfaatkan?" - (Mafhum Hadith)

Begitulah antara hadith yang dibacakan oleh imam di dalam khutbah Jumaat tengah hari ini. Walaupun ramai yang mendengarnya namun adakah ia memberi kesedaran terhadap semua yang mendengarnya?Entahlah..... Itulah jawapan paling mudah, semudah para makmum yang menghadiri solat jumaat ibarat melepaskan batuk ditangga.

Antara hari-hari dalam seminggu maka hari jumaatlah satu-satunya hari yang boleh kita lihat pemuda-pemuda Islam, itupun pada waktu Solat Jumaat sahaja kerana selesai sahaja solat maka hilanglah identiti Islam itu. Buktinya, apabila jejaka yang berpelikat dan berbaju Melayu dan bersongkok bertukar menjadi
Beruk Sarkas dek kerana tak kenal seluar panjang dan baju yang sopan. Fikirlah duhai pemuda pemudi, kenapa perlu dipersiakan hidup dengan ketaksuban fesyen yang dihidangkan oleh media yang menyimpang?. Janganlah kita mudah terpedaya dengan aliran berpakaian yang tidak selari dengan anjuran agama Islam, bukannya tidak boleh bergaya tetapi ada batasnya, bukankah Islam menganjurkan kesederhanaan. Percayalah bahawa sesegak manapun kita berpakaian. tetapi, kehebatan dan ketinggian kedudukan (pada pandangan manusia) adalah kurniaan Allah, dan ingatlah sebaik-baik penilaian ialah ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Allah berfirman di dalam al-Quran, dalam Surah Yunus ayat 49 bermaksud "Apabila telah datang ajal mereka (setiap umat), mereka tidak dapat melambatkannya sesaat pun dan tidak dapat menyegerakannya". Andai kita berfikirkan bersama sedalamnya peringatan yang Allah berikan maka kita akan sedari bahawa umur kita bukanlah menjadi pilihan kita sendiri melainkan telah ditetapkan oleh Dia Yang Maha Mengatur segala urusan kehidupan. Kalau sekarang umur sudah mencecah 30 tahun maka itulah umur kita setakat ini, apa mungkinkah masih ada umur kita esok hari? tiada siapa boleh menjawabnya. Jika seandainya esok tiada lagi peluang untuk kita menyedut udara dunia, adakah umur 30 tahun itu menjamin kehidupan kita ketika berada di dalam kubur dan ketika bertemu Allah di hari perhitungan nanti?. Ayuhlah pemuda pemudi rakan seAqidah ku, kita bersama menilai semula akan kejahilan yang selama ini mengalir di dalam darah kita, bersihkanlah kejahilan itu dengan air keimanan dan sucikan ia dengan buih ketakwaan, semoga Syiar Islam yang putih nan indah menyusur semula ke hati hingga mampu membentengi daripada kekotoran nafsu serta kejahilan itu.

Sedarlah bahawa kekotoran yang mengalir dalam diri pemuda pemudi kita yang melepek di Hipermarket dan yang merempit di Jalan Raya kerana beberapa sebab. Awal mula pertama mulanya ialah kerana budaya Hedonisme melampau yang diserapkan oleh puak pemerintah kepada golongan ini tanpa ada batas dan hadnya. Contoh-contoh yang nyata penterjemahan Hedonisme dalam masyarakat masa kini seperti Karnival Jom Heboh, Konsert Malam Merdeka, Konsert Menjelang Tahun Baru dan bermacam-macam hiburan lagi, kesannya sudah tentu waktu seperti itu menjadi peluang anak-anak muda ini melanggah air syaitan atau bersedap dan berzina, sebagai buktinya apabila selepas pembersihan tempat-tempat hiburan ini dilakukan penuh bersepah dengan tin dan botol arak serta stokin-stokin dalam (kondom).

Faktor yang kedua ialah kerana tiada Jati Diri terhadap peniruan budaya negatif. dalam berpakaian contohnya, sejak dua dekad ini terlalu banyak perubahan jenis pakaian yang menjelikkan mata memandang, semakin sakit mata kerana seksinya jolokan oleh betina-betina yang menipiskan blaus mereka atau dek kerana jalang-jalang yang sengaja mengurangkan kain skirt dan pakaiannya, maka terdedahlah apa yang diwajibkan untuk dilitup dan ditutup. Dimanakah rasa malu terhadap sesama makhluk apatah lagi rasa malu kepada Tuhan Yang mencipta tubuhnya, sekurang-kurangnya berpeganglah kepada nilai moral dan budaya Timur yang beradab sopan.

Faktor yang paling penting ialah kegagalan remaja belia yang terpesong untuk kembali kepada kebenaran, sehingga menyebabkan mereka semakin sayup dan jauh dari Hidayah Allah. Sekalipun golongan ini sesat dan berdosa tetapi mestikah mereka dipersalahkan semata-mata dek kerana kejahilan mereka terhadap kebenaran. Letakkan tangan di dahi dan fikirlah sendiri...

Ringkasnya, kebejatan masalah sosial yang menghinggapi muda-mudi remaja dan belia ini merupakan masalah bersama. Ini disebabkan kesemua faktor penyebab tersebut berkait rapat dengan semua peringkat dalam masyarakt, bermula dari suapan puak pemerintah dengan hiburan dan budaya barat yang terpesong, begitu juga disebabkan ibu bapa yang gagal memberikan asas keagamaan yang utuh sebagai landasan hidup, dan juga kurangnya para ulama dan profesional mendekati golongan ini secara suka rela sebagai satu usaha dakwah.



Tiada ulasan: