Selasa, 24 Februari 2009

Kehebatan Guru Bukan Pada DGnya

BismilLahirahmanirrahim.......

Suka saya sebutkan mafhum firman Allah sebagai al-Furqan dan Busyra kepada manusia yang bermaksud "Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu (manusia) adalah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu".

Daripada mafhum ayat di atas kita boleh memahami bahawa asas kepada kemuliaan yang menjadi ukuran di sisi Allah ialah ketaqwaan. Oleh itu muhasabah yang benar-benar berkesan perlu dibuat supaya apa jua institusi yang wujud khususnya pusat pentarbiahan seperti sekolah berasaskan kepada Taqwa. Maka ketaqwaan tidak akan lahir sekiranya setiap komponen yang menghidupkan institusi tersebut tidak menyingkirkan anasir-anasir keji di dalamnya.

Komponen utama yang meneruskan survival sekolah contohnya, pastinya adalah guru kerana gurulah proses tarbiah (mendidik) itu berlangsung. Dari situ guru perlu sedari seandainya guru tidak cuba berubah dengan menolak sikap dan sifat negatif yang terpahat dalam diri kepada yang yang lebih baik, maka murid yang menerima didikan dari hati yang kotor pasti akan menghasilkan murid yang tercemar spiritualnya. Justeru, murid yang sakit rohani dan akhlaknya tidak boleh disalahkan kerana yang 'melahirkan' jiwa-jiwa ini ialah 'ibu' yang kotor dan busuk jiwanya.

Jiwa yang kotor terjadi disebabkan terlalu banyak penyakit hati yang menjangkiti terutama penyakit hasad dan dengki di samping beberapa jenis lagi seperti buruk sangka, batu api dan talam dua muka. Inilah antara penyakit hati yang terdapat dalam kelompok manusia yang bergelar pendidik masa kini.

Langkah muhasabah terbaik pada setiap guru ialah membetulkan kembali asas Aqidah yang menjadi tunjang kepada setiap kerja buat kita sebagai hamba Allah, dengan cara menguatkan dan memantapkan keimanan iaitu menerima qada' dan qadar Allah seadanya. Memikirkan bahawa rezeki yang Allah berikan pada setiap manusia sangat adil dan bertetpatan dengan usaha hambanya, jangan sesekali meletakkan pangkat dan darjat sebagai pengukur rezeki yang dikurniakan Allah. Sekiranya kita merenung pada realiti semasa dan senario sebenar kehidupan manusia, adakah mereka yang berpangkat dan berpendapatan tinggi berjaya memiliki kebahagiaan hidup yang hakiki. Sudah tentu tidak, kerana berapa ramai yang bekerja dengan pendapatan yang sekadar cukup makan tetapi mempunyai anak dan isteri yang baik, bahkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran mereka.