Rabu, 23 September 2009

Program Jinak Mat Rempit

Lafaz yang mulia nan tiada yang seindahnya, Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.....

Merujuk satu bahagian daripada surat khabar tempatan bertarikh 19 September 2009 bertajuk Program Jinak Mat Rempit. Ingin saya lontarkan sekilas idea semoga dengan sedikit sentuhan ini bakal membuka "otak" masyarakat kita untuk berfikir dengan lebih kritis dalam sesuatu perkara.

Istilah Mat Rempit sangat sinonim dengan penunggang motorsikal, bahkan pelbagai pentafsiran telah dihuraikan oleh pakar dan yang bukan pakar bahasa berkaitan Mat Rempit. Acapkali juga artikel dan luahan pendapat tentang mat rempit diterbitkan di dada media massa sama ada surat khabar atau pun majalah.

Namun suka saya fokus kepada tajuk yang terpampang di dada akhbar seperti yang tersebut di atas, begitulah kroniknya keadaan sejenis manusia yang digelar atau diselar 'Mat Rempit'. Bukanlah tulisan ini bertujuan menghina mat-mat rempit kerana golongan ini perlukan bimbingan untuk berfikir dengan normal dan mengetahui bagaimana menyalurkan keberanian diorang ni. Ironinya masyarakat lebih suka menghukum golongan ini dari memperbaiki serta menilai apakah silap kita sebagai masyarakat yang saling bergantungan sesama sendiri, mungkin mendalam maksudnya tetapi lebih elok difikirkan bersama.

Meletakkan istilah 'menjinakkan' amatlah tidak sesuai apatah lagi dalam sesuatu program yang bertujuan untuk memperbetulkan manusia ke arah lebih positif. Menjinakkan biasanya digunakan untuk binatang liar agar tidak menjadi liar lagi dan boleh didikati manusia, tetapi menamakan Program Jinak Mat Rempit umpama meletakkan mat-mat rempit setaraf dengan bintang liar, bukankah mereka juga manusia seperti kiita? hukamak pernah berkata yang lebih kurang maksudnya "kalau batu dibentuk dengan batu akan meretak dan pecahlah batu itu, tetapi kalau dibentuk dengan air akan berubahlah bentuknya."

Malaysia mempunyai begitu ramai pakar bahasa yang diiktiraf kepakaran mereka, mengapa tidak dirujuk terlebih dahulu kesesuaian sesuatu istilah yang hendak digunakan agar tidak disalah fahami hatta menyebabkan rasa tidak senang hati terhadap sesuatu pihak. Justeru, berfikir dahulu sebelum berbahasa, kalau tidak sia-sialah kempen kerajaan yang dah berbuih-buih agar berbudi bahasa “berbudi bahasa budaya kita.”