Isnin, 23 November 2009

Bapak Polisi Syariah

Salamullahi alaikum warahmatuhu Wabarakatuh

Lama menyepi kerana menumpukan pada kerja pengkeranian di sekolah yang tak pernah putus selagi mana nafas tak putus.

Bukan sekadar menjadi diari peristiwa yang dilalui tetapi ada idea di sebalik peristiwa yang jika kita laksanakan tentu manfaatnya besar InsyaAllah.

Petang tadi ketika melalui perjalanan di sempadan antara Kedah dan Perlis, kenderaan yang dipandu saya dan rakan melintasi satu sekatan jalan raya. Terungkap cerita pengalaman rakan tadi tentang pengalamannya ketika di Acheh, Indonesia. Ceritanya, di Acheh Indonesia apabila ada satu-satu sekatan jalan raya akan ada bersama Bapak Polisi (Polis) di situ yang dipanggil Bapak Polisi Syariah (Polis Syariah), bapak polisi syariah berfungsi memeriksa pemandu dan penumpang sekiranya ada di antara mereka yang bukan mahram, sekiranya di dapati ada lelaki dan wanita si Bapak Polisi Syariah akan meminta pengenalan sama ada dapat dibuktikan mereka adalah pasangan suami isteri atau bersaudara. Tujuannya bagi mengelakkan adanya pasangan bukan mahram berdua-duaan dan dapat mengurangkan perlakuan zina.

Jika mengimbau kembali satu ketika Dr. Asri menjadi mufti Negeri Perlis dahulu, pelbagai isu ditimbulkan dan diperhangatkan beliau dan salah satu isu yang tidak dapat dilupakan ialah berkaitan "Tajassus" atau diertikan sebagai Intipan. Intipan yang dimaksudkan ialah intipan terhadap pasangan yang melakukan perbuatan (maksiat) dan perzinaan. Mungkin betul tindakan Bekas Mufti tersebut kerana mengaplikasikan larangan Allah yang melarang melakukan intipan kesalahan dan keburukan Muslim yang lain, tetapi dalam masa yang sama menjaga maslahah yang lebih besar perlu diambil kira. Mungkin perbuatan mengintip dilihat sebagai tidak berakhlak dan tidak beretika tetapi perlu ada satu langkah untuk menyelesaikan seterusnya membasmi perlakuan zina dan apa sahaja yang menjurus ke arah perzinaan.

Pendekatan yang dilakukan oleh pemerintah Banda Acheh seperti diceritakan di atas boleh diaplikasikan di negara ini dan khususnya di Negeri Perlis ini, apatah lagi negeri ini meletakkan Sunnah wal Jamaah sebagai dasar. Daripada membiarkan pasangan bukan mahram bersekedudukan, lebih baik dicegah lebih awal seperti satu kaedah fiqh yang berbunyi "al Wiqayah Khairun minal I'laj" atau 'Pencegahan itu lebih baik daripada mengubati". Jika di Acheh sana kerajaan pemerintah melantik Polis Syariah mengapa tidak polis di negara kita melakukan operasi sekatan jalan raya bersama-sama Jabatan Agama Islam Negeri di samping mengenakan hukuman kepada pasangan yang disabitkan dengan kesalahan menghampiri zina sesuai dengan larangan Allah yang bermaksud "Janganlah kamu menghampiri zina".

Hakikatnya jika benar seseorang pemerintah itu inginkan Islam,walaubagaimana sukar sekalipun ia akan ushakan untuk melaksanakan hukum-hakam Allah. Tetapi jika hanya sekadar mengakui tanah yang dipijak dan langit yang dijunjung adalah Islam, sebaliknya segala peluang dan ruang perzinaan disediakan, maka jelaslah pemerintah dan ulamak yang bersekongkol sekadar mencari populariti serta menjadi penipu di sebalik lakonan mereka untuk mengambil hati masyarakat yang jahil.