Khamis, 4 November 2010

Antara Fenomena Alam dan Amaran Yang Maha Pencipta



Saat dan ketika ini fenomena Taufan, Tsunami, letupan Gunung Berapi dan juga banjir yang berturut-turut melanda beberapa negara, tidak terkecuali juga Negara Malaysia yang tercinta ini. Ironinya, apa yang meniti di kebanyakan bibir masyarakat hatta media massa bukanlah ungkapan yang berbentuk kesedaran, ayat-ayat yang selalunya terbit "ini semua fenomena alam", "inilah kesan pencemaran" atau "kejadian-kejadian sebegini berlaku kerana pembangunan yang tidak terancang" dan pelbagai alasan yang tidak dikaitkan rasa keinsafan serta memuji kekuasaan Tuhan.

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Surah al-Rum, ayat:41

Jelas dari ayat ini bahawa bala' bencana yang tidak putus-putus berlaku di sana sini adalah disebabkan perbuatan-perbuatan maksiat yang dilakukan oleh umat manusia sendiri. Mereka ditimpakan bencana yang sedemikian rupa supaya manusia segera insaf dan menjauhi segala perbuatan yang munkar. Jika perbuatan munkar dan maksiat itu terus menerus dilakukan maka Allah akan menimpakan dengan bala' bencana yang terus datang menimpa.

Bermula dari peristiwa banjir besar serta ribut yang bermula dari Vietnam dan Thailand, selepas seketika Gunung Merapi di Indonesia meletus dan juga Tsunami yang kembali menimpa tanpa dapat dikesan oleh teknologi canggih sebagai pengesan tanda-tanda Tsunami. Sehinggalah di waktu ini, banjir dan ribut sedang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malayasia, termasuklah negeri yang jarang sekali dilanda banjir besar seperti Perlis misalnya. Di manakah silapnya? apakah punca bencana sebegini datang menimpa?

Seperti mana petikan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Rum di atas, jelas sekali bahawa bencana alam yang berlaku merupakan suatu amaran Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia
bahawa terlalu banyak kerosakan berbentuk maksiat dan juga kemungkaran yang telah berlaku, khususnya di bumi Malaysia ini. Bukankah hampir setiap hari kita mendengar mangsa bunuh yang begitu kejam tanpa ada pembelaan yang adil, apatah lagi pembelaan menurut keadilan undang-undang Islam, tentu jauh sekali. Ruang-ruang perzinaan yang sangat luas, buktinya setiap hari serbuan dan penangkapan terhadap lelaki-lelaki miang di pusat hiburan dan pusat pelacuran yang bagaikan hilang satu berganti sepuluh. Tambahan pula, hampir setiap hari juga bayi-bayi hasil zina ini dibuang dan ditinggalkan di merata-rata bagai membuang "lampin pakai buang." Mungkinkah pasangan-pasangan ini berzina kerana tidak mampu untuk berkahwin disebabkan kos perkahwinan yang tidak tertanggung. Atau adakah mereka terlalu teransang dengan pelbagai hiburan yang direncanakan sepanjang hari sama ada melalui media seperti TV, Internet dan radio, apatah lagi mereka diransangkan secara terus dari persembahan-persembahan konsert yang percampuran lelaki dan wanitanya tiada batasan, sehinggalah ke rancangan realiti TV yang melekakan.

Dalam kebejatan masalah sosial yang menimpa-nimpa, timbul pula idea yang akan menambah burukkan lagi keadaan sedia ada. Cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan bertaraf dunia jelas dan nyata bukanlah satu satu idea yang baik, apatah lagi idea tersebut datangnya dari seorang pemimpin yang beragama Islam dan akan dilaksanakan dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai teras perlembagaan negara. Sebagai sebuah negara Islam yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa cadangan yang keji sebegini merupakan satu keaiban buat negara. Apatah lagi ia diucapkan oleh seseorang pemimpin sebuah negara Islam itu sendiri, maka akan timbul persoalan di mana letaknya iman si pemimpin?, apakah sebenarnya di sebalik cadangan ini terselit satu agenda kuffar yang ingin merosakkan Islam secara diam?

Pelbagai persoalan dan juga tuduhan akan dilemparkan dan yang lebih memalukan di mana peranan para ulamak. Mana taringnya "Dewan Ulama Muda" yang berani bersemuka dengan si pemimpin yang lantang meluahkan cadangan menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan bertaraf dunia, mungkinkah ia akan setanding dengan pusat-pusat hiburan yang telah terkenal di Eropah dan sebagainya. Sudah banyak JEMPUTAN yang akan mengundang BALA ALLAH, BALA ALLAH akan datang sebagai AMARAN dan akan menjadi PERINGATAN kepada manusia yang beriman. Apakah doa selapis mulut boleh menembus hijab dosa yang tebal menggunung? Ya Allah ampunkan dosaku..........................................................................................