Petikan Ilmiah

MENGAGUNGKAN MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W.ADALAH TUNTUTAN AGAMA ISLAM

Berbicara mengenai soal menggagungkan junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.kita perlu menarik pengertian terlebih dahulu tentang perbezaan kedudukan al-Khalik (Allah) dan kedudukan Makhluk (Hamba Allah). Tanpa pengertian yang jelas mengenai soal itu kita boleh terjerumus ke dalam pemikiran sesat yang mencampuradukkan atau menyama ratakan dua kedudukan yang berlainan itu. Menyamakan atau mensejajarkan kedudukan al-Khalik dengan kedudukan makhluk jelas merupakan kesalahan besar yang boleh membawa ke kancah kekufuran.

Yang pasti ialah bahawa kedua-dua kedudukan itu mempunyai hak dan kekhususan yang tersendiri. Oleh yang demikian kekhususan pada peribadi Rasulullah s.a.w ialah kekhususan yang membezakan baginda s.a.w dengan manusia lain, iaitu mertabat yang mengangkat kedudukan baginda berbanding manusia biasa, martabat  agung yang dikurniakan Allah s.w.t kepada baginda s.a.w. Terdapat suara yang mengelirukan kerana tidak dapat memahami dengan jelas perbezaan kedudukan antara Allah s.w.t sebagai al-Khalik dengan kedudukan Rasulullah s.a.w sebagai makhluk. Akibat dan salah tafsiran itu mereka mengkafirkan orang yang mengagungkan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka menyatakan bahawa mengagungkan Rasulullah s.a.w. itu bererti menyamakan kedudukan al-Khalik dengan makhlukNya. Atau mungkin mereka itu menyangka  bahawa perbuatan mengagungkan Rasulullah s.a.w sama ertinya mengangkat martabat bagtinda s.a.w. setaraf dengan kedudukan Allah s.w.t sebagai Tuhan. Semoga Allah menjauhkan kita dari fikiran seperti itu.


Dipetik dari- Liku-liku Bid'ah dan masalah khilafiyah. H.M.H al-Hamid al-Husaini