Forum

Kemusykilan 2:

Soalan dari adik Nur Syuhada, jikalau kita solat tarawih adakah perlu kita membaca doa iftitah seperti solat 5 waktu?

Doa Iftitah adalah sunat dibaca di dalam solat sama ada di dalam solat Fardhu (Solat 5 waktu) atau dalam solat-solat sunat yang lain seperti solat Sunat Tarawih, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Witir dan solat-solat yang lain.

Caranya ialah Doa Iftitah dibaca pada awal solat iaitu selepas sahaja mengangkat Takbiratul Ihram dan sebelum membaca Surah al-Fatihah.

TIPS DOA IFTITAH

Membaca doa iftitah setelah takbirat al-Ihram merupakan satu tuntutan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Ianya merupakan satu bentuk pujian, sanjungan dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Terdapat sebegitu banyak hadis yang menunjukkan baginda shalallahu 'alaihi wasallam amat menitik beratkan pembacaan doa iftitah ini. Walaupun majoriti ulama’ menyatakan membaca doa iftitah ini hanyalah sunat dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak dibaca, namun bagi kita yang benar-benar ingin mengikuti sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam serta mempraktikkan suruhannya sebagaimana sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” maka sewajarnya kita tidak meninggalkan doa iftitah ini. Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa doa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:


لاَ تَتِمُّ صَلاَةٌ لأَحَدٍ مِنْ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعَ الْوُضُوءَ يَعْنِي مَوَاضِعَهُ ثُمَّ يُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ اللَّهَ جَلَّ



وَعَزَّ وَيُثْنِي عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ بِمَا تَيَسَّرَ مِنْ الْقُرْآنِ.



Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya

sebelum dia bertakbir, memuji Allah 'Azza wa Jalla, menyanjung-Nya,

dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)


Apa yang dapat kita fahami dari hadis di atas adalah, setelah kita bertakbir maka hendaklah kita memuji dan menyanjungi Allah 'Azza wa Jalla melalui pembacaan doa iftitah. Tanpanya maka tidak sempurnalah solat kita.

Kebiasaannya bagi umat Islam di Malaysia, doa iftitah yang diamalkan dalam solat adalah seperti berikut:


اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً



وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَالسَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ



حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ



إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ



لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.


Allah yang Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku bagi Tuhan yang mencipta tujuh petala langit dan bumi, cenderung kepada penyerahan dan tidaklah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.

Sebenarnya Doa Iftitah yang kita amalkan di Malaysia menggabungkan dua hadis berikut;

Pertama:

Dari Ibn 'Umar, dia berkata: “Sedang kami bersolat bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, salah seorang dari kami mengucapkan:


اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.


“Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar

dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang.”


Bersabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam: “Siapa yang telah mengucapkan kalimat begini dan begini?”

Salah seorang dari kami menjawab: “Saya, wahai Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.”

Baginda berkata: “Ianya (ucapan tersebut) telah membangkitkan rasa ajaib kepada aku kerana pintu-pintu syurga telah terbuka disebabkan oleh ucapan itu.”

Ibn 'Umar berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan ucapan tersebut semenjak mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berkata begitu.”


Kedua:

Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, dia berkata: “Bila Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:


وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ



حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِين.َ



إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ



لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.



اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي



وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي



وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا



إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ



وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ



وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ



لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ



أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.


“Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta seluruh langit dan bumi, dengan sepenuh penyerahan dan bukanlah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.

Tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikianlah aku diperintah dan aku tergolong dari golongan Islam.

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu, aku telah membuat aniaya terhadap diriku dan mengakui kesalahanku, maka ampunilah dosaku kesemuanya, dan tiadalah yang dapat mengampuni dosa-dosaku itu melainkan Engkau.

Dan tunjukilah aku kepada akhlak terbaik, tak ada yang akan menuntun kepada akhlak yang terbaik itu kecuali Engkau; dan jauhkanlah aku dari akhlak yang jelek, tak ada yang dapat menjauhkan aku dari akhlak yang jelek itu melainkan engkau.

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan aku patuhi perintah-Mu.

Dan kebaikan itu seluruhnya berada dalam Tangan-Mu sedangkan kejahatan itu tak dapat dipergunakan untuk menghampirkan diri kepada-Mu.

Aku milik-Mu, kepada-Mu-lah yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, aku meminta ampun dan bertaubat.”

Cara pembacaan yang lazimnya dibacakan di Malaysia adalah hasil penggabungan dan pemotongan kedua-dua hadis di atas.



Kemusykilan 1:

Soalan daripada adik Iwana Irawan: Bolehkah tidak memakai tudung dengan alasan sakit kepala apabila memakai tudung?

Memakai tudung atau menutup rambut bagi wanita adalah wajib, di antara hadis yang menjadi dalil terhadap perintah memakai tudung ialah sebuah hadis, mafhumnya:"Sesungguhnya apabila seorang wanita didatangi haid (baligh) maka dia tidak boleh memperlihatkan daripada tubuhnya kecuali ini dan ini (Baginda menunjukkan kepada muka dan kedua tapak tangannya"

Ringkasnya alasan kerana pening kepala apabila memakai tudung bukanlah alasan yang boleh diterima, kerana banyak ikhtiar yang boleh melegakan sakit kepala dan pelbagai jenis tudung yang ada dari pelbagai jenis kain, sama ada tebal atau nipis yang tidak menyebabkan rasa panas ketika memakainya.

Biasanya pening kepala hanya dijadikan alasan untuk tidak memakai tudung terutama bagi anak-anak remaja yang masih muda, bahkan pakaian remaja wanita masa kini lebih nipis dan singkat berbanding remaja lelaki. Ingat, menutup aurat bukan sekadar menutup rambut semata-mata.

Untuk menambah pengetahuan berkaitan Aurat Wanita ustaz masukkan beberapa petikan tentang aurat di bawah. Selamat membaca dan beramal;



Persoalan ‘aurat wanita sebenarnya satu perkara yang telah lama dibahaskan dan dibincangkan oleh para ulama’ Islam. Secara asasnya, Islam telah menetapkan ‘aurat WAJIB ditutup tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita dan dalil – dalil al – Qur`an al – Karim dan Sunnah Rasulullah SAW sudah cukup banyak menjelaskan hal ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Sekalipun di sana ada perselisihan pendapat di kalangan para fuqaha’, namun persoalan yang berbeza hanya melibatkan muka, tapak tangan dan tapak kaki. Di dalam hal ini pandangan para ulama’ terbahagi kepada tiga:-

1. Seluruh tubuh badan wanita adalah ‘aurat kecuali muka dan tapak tangan
2. Seluruh tubuh badan wanita adalah ‘aurat kecuali muka, tapak tangan dan tapak kaki
3. Seluruh tubuh badan wanita adalah ‘aurat

DALIL – DALIL KEWAJIPAN MENUTUP RAMBUT

Al – Qur`an al - Karim

A) “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dada mereka dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak – anak lelaki mereka, atau saudara – saudara lelaki mereka atau anak – anak lelaki saudara lelaki mereka atau anak – anak lelaki saudara perempuan mereka atau wanita – wanita Islam atau budak – budak yang mereka miliki, atau pelayan – pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau kanak – kanak yang belum mengetahui ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya (menghentak kaki) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang – orang beriman supaya kamu beruntung[4]”.

Kata Sa’id b Jubair (ayat) Dan hendaklah mereka menutup... (bererti) dan hendaklah mereka melebihkan atau (melabuhkan – pen.), (ayat) kain tudung kepala mereka ke dada mereka, bermakna (dari) leher ke dada mereka dan janganlah terlihat sesuatupun daripadanya, dan daripada al – Bukhari daripada A’ishah[5] r.a katanya: “Semoga ALLAH merahmati wanita – wanita Muhajirin yang terawal, apabila diturunkan ALLAH ((Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kepala mereka hingga ke dada mereka)) terzahir rambut mereka lalu mereka mengenakan kain tudung ke atasnya[6].

Kata Dr. Yusuf al – Qaradhawi: “Tidak menampakkan perhiasannya yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki – lelaki yang di haramkan berkahwin dengannya yang menyukarkannya untuk menutupinya seperti orang asing[7]”.
Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita pemakaian kain tudung kepala adalah WAJIB bahkan di suruh kepada kita untuk melabuhkannya hingga ke dada. Namun, pemakaian ini ada pengecualiannya kepada individu – individu yang telah di sebut dalam ayat di atas.

B) “Dan perempuan – perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin berkahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui[8]”.

Dan perempuan – perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung); Mereka adalah perempuan – perempuan lanjut usia yang terputus kitaran haid mereka dan terhalang dari mendapat anak (mengandung). Yang tidak ingin berkahwin (lagi); iaitu tidak timbul dalam diri mereka perasaan untuk bernikah sekali lagi. Tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan; (iaitu) tiada ke atas mereka bebanan untuk menutup ‘aurat sepertimana (wajib) ke atas wanita selain mereka[9].

Dalam ayat ini, dibenarkan kepada wanita Muslimah untuk membuka sebahagian ‘auratnya apabila sampai peringkat menopaus (putus haid) yang sememangnya akan menghalangnya untuk mengandung di samping hendaklah beliau tidak mempunyai perasaan untuk berkahwin lagi. Juga jelas dari tafsiran di atas bahawa, pengecualian ini khas kepada perempuan – perempuan tua (lebih kurang umur sekitar 50 – 60 ke atas) bukan kepada perempuan – perempuan muda yang masih didatangi haid.

Hadith Rasulullah SAW

Telah menghadithkan kepadaku Zuhair b Harb, telah menghadithkan kami Jarir b Suhail daripada bapanya daripada Abi Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Ada dua kumpulan penghuni neraka, yang mana aku tidak akan melihat mereka berdua setelah itu; iaitu wanita yang berpakaian namun seperti telanjang, yang berjalan goyang ke kanan ke kiri, dan kepala mereka seperti bonggol unta yang gemuk dan bergoyang – goyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. Dan lelaki yang ditangan mereka terdapat cemeti, seperti ekor sapi. Dengannya dia memukuli manusia[10]”

Ayat kepala mereka seperti bonggol unta yang gemuk dan bergoyang – goyang di atas jelas kepada kita bahawa wanita Muslimah yang tidak memakai tudung kepala akan dimasukkan ke dalam neraka bahkan tidak akan mencium bau syurga sekalipun.

Termasuk dari kerosakan yang sangat besar adalah banyaknya kaum wanita menyerupai wanita Nasrani, dengan mengenakan pakaian mini, menampakkan rambut, menyisir rambut dengan model orang kafir dan fasiq, menyambung rambut dan mengenakan tutup kepala buatan fabrik yang sering disebut Al – Barukah[11].

3.0 PEMAKAIAN TUDUNG KEPALA APABILA DALAM KEADAAN DARURAT

Pandangan Dr. Yusuf al – Qaradhawi mengenai darurat
Selepas menyebutkan pengharaman makanan yang terdiri dari bangkai, darah dan daging babi, Allah berfirman:

"Barangsiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tiada berdosa atasnya, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih "
(al-Baqarah:173)
-Maksud ayat ini diulang di dalam empat surah di dalam al-Quran semasa menyebut pengharaman makanan tertentu. Dan dari ayat ini dan ayat-ayat yang seumpamanya, para fuqaha’ Islam telah menetapkan satu kaedah (Fiqh): “Keadaan darurat membenarkan perkara yang dilarang.” Namun perlulah diberi perhatian bahawa di dalam ayat-ayat berkenaan ada mengemukakan garis panduan keadaan darurat, iaitu: Tidak sengaja dan tidak melampaui batas. Ayat ini dapat ditafsirkan: “Tidak sengaja” bermaksud tidak sengaja mencari kelazatan atau keseronokan. Manakala ayat: “Tidak melampaui batas” bermaksud tidak melampaui keperluan yang diperlukan. Melalui kaitan “tidak sengaja” dan “tidak melampaui batas”, para fuqaha’ telah menetapkan satu kaedah lain iaitu: Darurat itu dianggarkan menurut ukurannya. Oleh itu, seorang manusia sekalipun boleh tunduk terhadap tekanan darurat, namun dia tidak boleh menyerah kepadanya, dan tidak boleh juga mencampakkan diri ke dalam keadaan berkenaan. Dia wajib bepegang kepada asal yang halal dengan mencarinya, sehingga nanti tidaklah dirinya terjebak ke dalam perkara yang diharamkan atau meringan-ringankannya dengan dakwaan ini adalah darurat. Islam dengan pendiriannya membenarkan perkara terlarang ketika dalam keadaan darurat, hanya sebagai penghalaan semangat dan roh universal dan kaedah umum yang ada di dalam Isam. Itulah dia semangat memberi mudah yang tidak dijamah oleh kesukaran, meringan-ringankan dan bentuk yang membelenggu sebagaimana yang telah dilalui oleh umat-umat sebelumnya.

Dan, benarlah firman Allah Taala:

"Allah berkehendak memberikan kemudahan bagi kamu, dan Ia tidak menghendaki memberikan beban kesukaran kepadamu."
(al-Baqarah: 185) .
Juga ayat,

"Allah tidak menghendaki untuk memberikan kamu sesuatu beban yang berat, tetapi ia berkehendak untuk membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu supaya kamu berterimakasih."
(al-Maidah: 6)
dan ayat,

"Allah berkehendak untuk memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia itu dijadikan serba lemah."
(an-Nisa': 28)[12]

Berdasarkan pandangan di atas, saya merumuskan bahawa sekiranya seseorang wanita Muslimah dalam keadaan terpaksa untuk menanggalkan tudungnya seperti untuk mengambil gambar pasport di Amerika Syarikat (kerana bimbang di tuduh sebagai pengganas dan berlaku kekecohan yang lain), maka dia boleh menanggalkannya dalam tempoh dia mengambil gambar dan setelah selesai, hendaklah dia cepat – cepat memakainya semula di samping hatinya mestilah tidak redha dengan keadaan tersebut.

Adapun masalah di tempat tinggal yang dikelilingnya dihuni oleh penduduk non – Muslim yang anti – Islam dan menyukarkan di beramal dengan ajaran Islam bahkan menerima pelbagai ancaman, maka WAJIB baginya untuk berhijrah. Hadith Nabi SAW; Telah menghadithkan kepada kami Adam b Abi Iyas katanya: Telah menghadithkan kepada kami Syu’bah daripada ‘Abdillah bin Abi as – Safar dan Ismail daripada asy – Sya’bi daripada ‘Abdillah bin ‘Amr r.a daripada Nabi SAW sabdanya:”Seorang Muslim ialah selamat Muslimin yang lain dari lidahnya (perkataannya) dan tangannya, dan orang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah dari perkara yang dilarang ALLAH[13]”.
Maksud asal hijrah ialah berpindah dari dar al – kufur (negeri kafir) ke dar al – Islam (negeri Islam) sepertimana hijrah yang dilakukan baginda SAW dan para sahabat r.a. Maka, wanita Islam yang pergi ke negeri non - Muslim untuk belajar, perlu berhijrah ke negeri Islam sekiranya keadaan di sana sangat menyukarkannya untuk melaksanakan tanggungjawab agamanya. Maknanya, tidak semestinya dia berpindah ke negara Islam yang mungkin di negara terbabit tidak menawarkan kursus yang sesuai dengannya, tetapi mungkin dia boleh mencari alternatif belajar di negara – negara non - Muslim yang bersikap tidak memusuhi Islam dan penganutnya seperti peristiwa hijrah para sahabat r.a ke Habsyah atas arahan Rasulullah SAW walaupun Habsyah negara kafir. Namun, dia mesti berusaha mencari alternatif tempat belajar di dalam negara Islam terlebih dahulu sebelum melihat peluang di negara non – Muslim.

Alasan darurat tidak releven digunakan di sini kerana dia mempunyai pilihan lain atau alternatif. Kaum Muslimin tidak di galakkan gemar duduk dan tinggal di negara kafir bahkan Islam menyarankan kita supaya suka hidup bersama – sama masyarakat Muslim kerana ia lebih menjaga agama kita. Apakah menuntut ilmu di negara kafir lebih penting dari melaksanakan tuntutan agama? Sedangkan di sana ada pilihan yang membolehkannya menyambung pengajian di tempat lain dalam bidang yang sama dengan suasana yang lebih aman dan selesa? Persoalan ini perlu dijawab oleh Muslimah tersebut.

Akhirnya, saya mengingatkan supaya kita lebih mengutamakan tuntutan agama lebih dari segalanya. Umat Islam hari ini sangat lemah dalam segenap aspek. Kita sangat kesal apabila berlaku hal seperti ini, pemimpin kaum Muslimin hanya berdiam diri. Mereka tidak mengambil iktibar dari generasi awal Islam pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat r.a yang begitu sensitif terhadap perkara yang menyentuh persoalan ummah seperti peristiwa sekumpulan Yahudi Bani Qainuqa’ meng’aibkan seorang Muslimah dengan menyelak ‘auratnya. Kemudian lalu seorang lelaki Muslim yang nampak kejadian itu dan dia segera bertindak membunuh Yahudi yang memulakan masalah tersebut. Melihat kejadian itu, sekumpulan Yahudi menyerbu ke arah lelaki Muslim tersebut lalu membunuhnya. Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara Islam Madinah pada ketika itu mengambil tindakan mengepung tempat Yahudi Bani Qainuqa’ dan mengusir mereka keluar. Mereka yang melawan akan dibunuh. Inilah akibat daripada melanggar Piagam Madinah dan kebiadapan mereka mencemarkan maruah umat Islam[14].
Kehormatan atau maruah termasuk dari perkara ad – doruriyat al – Khomsah (Lima perkara yang dituntut untuk dijaga; agama, nyawa, aqal, harta dan maruah). Sekiranya kita mengabaikannya, siapa lagi akan memperdulikannya

SOALAN

      Saya ingin ustaz jelaskan maksud ayat 60, surah An-Nur yang bermaksud:
Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Nur: 60)
Adakah ini bermaksud wanita tua tidak diwajibkan bertutup kepala atau bertudung, kerana mereka sudah beruban dan tidak menarik lagi?

JAWAPAN

    Mengikut pandangan Said bin Jubair dan Muqatil bin Hayyan, Al-Dohhak serta Qatadah: "Mereka (wanita) yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah wanita yang sudah terputus haid dan tidak dapat melahirkan anak kerana usia yang lanjut (menopaus).
"Mereka juga tiada minat dan keinginan untuk berkahwin (tiada nafsu). Maka tiada halangan bagi mereka untuk membuka jilbab (penutup muka), serta membuka jubah berwarna hitam yang biasa disarung pada tubuh selepas memakai jubah bagi tujuan tidak memperlihatkan perhiasan dalaman". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 404).
Dijelaskan lagi oleh Ibn Masud dan Mujahid: "Tiada perselisihan di kalangan para ulama mengenai rambut wanita tua, rambut wanita tua tetap tidak boleh dilihat oleh ajnabi (bukan mahram). Hukum berkaitan rambut adalah sama tiada bezanya antara yang perempuan tua dan muda.
"Maka yang diharuskan dalam ayat ini ialah wanita yang sudah tua harus baginya tidak menyelubung dengan kain hitam, dan kedua-dua tangan dan wajah harus dibuka. Ini kerana secara saintifiknya wanita tua tidak berkeinginan dan tidak menjadi perhatian orang lelaki". (Ibn al-'Arabiy, Ahkam al-Quran, jld:3, hlm:419).
Ibn al-'Arabiy melihat bahawa kalimah al-qawaaid yang membawa makna perempuan tua semata-mata tanpa yang lainnya kerana mereka tidak lagi bernafsu. Dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir r.a menjelaskan bahawa: "wanita tua yang sudah tiada nafsu keinginan kepada hubungan jantina, ketika mana orang lelaki tidak lagi berminat kepada, maka diringankan kaedah menutup aurat keperingkat yang lebih mudah, tujuannya bagi meringankan bebenan yang mungkin memenatkan mereka. (Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir al-Tabari).
Dalam ayat yang sama Allah SWT berfirman: Dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, iaitu tidak mendedahkan serta memperlihatkan perhiasan supaya dia dilihat, kerana yang demikian ialah sangat buruk dan sangat jauh dari kebenaran.
Kesimpulannya, wanita yang sudah berumur atau yang sudah lanjut usianya wajib menutup aurat seperti mana wanita yang baligh belum sampai usia tua. Namun Islam memberi sedikit kelonggaran untuk tidak menyelubung badan dan segolongan ulama mengharuskan bagi wanita tua mendedahkan wajah dan kedua tangan. Walaupun demikian sekiranya wanita-wanita tua itu mahu menutup auratnya seperti wanita muda itu adalah lebih baik.
Ini kerana perbuatan menutup aurat bukan untuk sekadar mengawal diri dari terdedah kepada gangguan seksual malahan sebagai tanda tunduk dan patuh kepada kehendak Allah yang menjadi akan segala sesuatu.
Kita rasa pelik ialah wanita di negara kita kebiasaannya di usia remaja hingga menemui usia tua mendedahkan aurat semahu mereka, apabila sudah tua baru terasa dekat dengan Allah SWT.
Manakala syariat Islam melalui sumber rujukannya al-Quran dan al-Sunnah mewajibkan wanita menutup aurat apabila mencapai usia baligh. Dan tidak salah kalau lebih awal daripada itu sebagai satu tarbiah. Kerana ketika mudalah Allah SWT mengurniakan manusia keindahan paras rupa yang menawan, lebih-lebih lagi yang bergelar wanita.
Sebab itulah Allah SWT mengkategorikan wanita sebagai perhiasan dunia yang bisa memporak-perandakan kaum Adam. Dan ada pula wanita yang merasakan dirinya hebat kerana ramai lelaki yang tersungkur dengan kecantikannya.
Seperkara perlu diingat betul-betul iaitu Allah memberi kemudian diuji dengan apa yang diberi untuk melihat tabiat manusia. Adakah dia kenal siapa yang memberinya nikmat tersebut atau dia alpa dengan apa yang dia ada?
Sangat beruntunglah mereka yang sedar bahawa apa yang dimilikinya adalah pinjaman dan setiap yang dipinjamkan perlu dipulangkan kepada tuannya.
Mingguan Malaysia Online 13/02/2009