Jumaat, 10 April 2009

Berlumba Ke Arah Kebaikan Ada Batasnya

Aku Berlindung Kepada Allah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari Kesesatan Syaitan yang Direjam,

Bismillahirahmanirahim,

Mafhum Firman Allah SWT "Berlumbalah kamu ke arah melakukan kebaikan", begitu juga satu Mafhum firman Allah SWT " Bersegeralah kamu ke arah memohon keampunan dari Tuhanmu", dapat difahami secara umum maksud serta apa yang perlu diterjemahkan daripada firman Allah tersebut bahawa suruhan Allah kepada hambanya untuk berlumba dan bersaing untuk mendapatkan keredhaan Allah di samping memelihara keutuhan agama dengan mencari 'MaghfirahNya'.

Allah menganjurkan hamba-hambanya agar bersegera dan sentiasa istiqamah dalam melakukan amal kebaikan, dalam pada itu Allah juga melarang sikap melampau dalam setiap perkara yang kita lakukan. Jelas di sini bahawa perlu ada keseimbangan dalam membuat sesuatu amal kebajikan, dengan cara menjadikan al-quran dan as-sunnah sebagai kayu pengukur atau untuk memudahkan lagi ialah dengan menjadikan orang alim serta ulama sebagai mursyid (penunjuk jalan kebenaran)

Realiti yang berlaku kini ialah ramai di kalangan kita suka menjadikan agama sebagai muka depan, menutup segala matlamat sebenar yang bersifat keduniaan. Lebih jelas disebut mempergunakan agama demi kepentingan diri serta mengenyangkan puak kroni. Dari itu, ramai yang mengakui diri mereka sebagai ulamak sedangkan ilmu di dada belum diakui kejituan dan kemantapannya.

Tiada halangan untuk mengejar dan berlumba ke arah memperbaiki diri di samping mengajak serta menyeru mesyarakat agar menjadi lebih baik, apatah lagi jika ajakan itu bertujuan untuk menambahkan lagi kefahaman tentang ilmu Agama. Oleh itu, apa jua instrumen atau bentuk usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut sangat digalakkan (asalkan menurut kaedah dan tidak bertentangan dengan hukum syarak), walaupun menggunakan pelbagai nama sama ada Majlis Agama, KAFA, PAFA atau j-QAF serta bermacam-macam jenis nama lagi yang tak tersebut di sini. Jika semua nama-nama ini dijadikan platform untuk menjana masyarakat agar memahami syariat Allah dan mengamalkannya dalam kehidupan, maka seharusnya tidak ada perselisihan atau dengki mendengki sesama sendiri kerana akhir perjuangan adalah sama. Iaitu untuk menggapai keredhaan Allah s.w.t.

Selasa, 7 April 2009

Langit Tak Selalunya Cerah

Dengan lafaz Bismillah dimulakan peringatan ini agar kita sama-sama mendapat pengajarannya InsyaAllah.........

Hidup tidak selalunya indah......
Langit tak selalu cerah..........

Begitulah satu ungkapan lagu nasyid yang tidak lapuk didendangkan oleh corong speaker radio atau TV di Malaysia, sekalipun jarang-jarang diperdengarkan oleh media elektronik negara ini yang diakui Keislamannya oleh segelintir sahaja, atau mungkin selain dari yang 'segelintir' itu berasa was-was nak mengakuinya, walLahu a'lam.