Selasa, 2 Mac 2010

Kebejatan Sosial Meruntuh Ekonomi Negara

Assalamualaikum,
Salam 1 Aqidah, 1 Ukhuwwah, 1 Jamaah.

Agak lama saya tidak meluahkan apa yang terbuku di hati dan juga fikiran, meski pun masa dan massa mengalirkan pelbagai isu untuk dibaca, dikesali dan diratapi. Tapi ia tidak mampu dan tidak cukup untuk membuatkan jiwa yang bertuhankan syaitan serta hati bernafsu binatang itu sedar akan kebodohan mereka membunuh insan yang belum sedar kenikmatan dunia ibarat seperti mereka membunuh nyamuk tanpa terusik edi hati rasa bersalah.

Bukan bidang saya berfalsafah tetapi itulah ungkapan yang terbit spontan dari hati apabila akhir-akhir ini sering terpampang di dada akhbar berita membuang bayi, membunuh bayi dan penderaan kanak-kanak yang menyayat hati. Soalan-soalan Mengapa semua ini berlaku?, siapa perlu dipersalahkan?, di mana sifat kemanusiaan? Apakah penyelesaiannya? dan pelbagai persoalan lagi telah lama diperbincangkan. Tetapi begitulah sikap umat kini yang tak serik "jatuh ke dalam lubang biawak berkali-kali", kerana malu untuk mengakui apakah kita umat Islam yang sejati sedangkan Rasulullah pernah besabda yang bermaksud "Orang Islam itu tidak akan jatuh ke dalam lubang biawak dua kali", tapi kalau dah jatuh berkali-kali pun masih mengaku Islam, apa boleh dikata. Tepuk Dada, tanyalah Iman dan Taqwa.

Timbul seribu persoalan apabila ada pihak yang kononnya berasa bertanggungjawab ingin membantu bakal-bakal ibu yang "tidak sah taraf" dengan cara mewujudkan rumah-rumah khas untuk mereka melahirkan anak-anak "tidak berbapa". bunyinya macam pelik, pelik tapi benar. Begitulah pembaziran wang rakyat yang digunakan secara "tidak cerdik", sedangkan ruang perzinaan terbentang luas dijadikan pelaburan yang merugikan dan menghasilkan "produk bernyawa" dek kerana perbuatan haram zina yang pasti tidak memberikan apa-apa keuntungan.

Sedang ekonomi negara bagaikan "tak cukup nafas" kerana pelabagai masalah penyelewengan dan rasuah, maka dana negara dilaburkan dengan membeli hiburan dari segenap pelosok dunia. Kalau disebutkan tajuk hiburannya tentu tak cukup perenggan karangan , bermula dengan telenovela latinnya, filem indonnya dan pelbagai rancangan realiti TV yang merosakkan nilai moral dan adab ketimuran. Apatah lagi sebagai Muslim, di manakah jalan hidup bersyariat yang diperintahkan Allah dan Rasulnya, sepatutnya dipertahankan dan diamalkan.

Sedarlah wahai rakyat 1 Malaysia, sekalipun kita pelbagai bangsa dan agama, adakah agama-agama kamu menyuruh untuk merosakkan orang lain?, adakah agama-agama kamu memerintahkan agar merosak dan melingkupkan negara kamu? pasti jawapannya "tidak.". Oleh itu ayuhlah wahai rakyat 1 Malaysia! kita tanam 1 kesedaran untuk mencari jalan dan juga menyokong langkah mencegah apa sahaja peluang yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan seperti pergaulan lelaki dan wanita yang terlalu bebas dan anasir-anasir yang meransang nafsu syahwat yang boleh mengakibatkan salah laku seks dan seumpamanya.

Wallahu a'lam........