Isnin, 8 Disember 2008

Aqidah Runtuh lebih parah dari Tanah Runtuh

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Salam Eidul Adha.....Salam korban....

Firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: "Telah nyata kerosakan di darat dan di laut akibat daripada tangan-tangan (perbuatan) manusia....".

Sedih dan pilu apabila berlakunya tragedi demi tragedi tanah runtuh baru-baru ini, dengan bermulanya tragedi di Ulu Yam, Hulu Selangor. Sekalipun boleh dibayangkan bagaimana tanah seluas dua padang bola menghempap sebuah banglo, namun sukar hendak dibayangkan seluas manakah pula tanah yang memusnahkan 14 buah banglo di Bukit Antarabangsa beberapa hari lalu. Hari Raya Korban yang kita sambut dengan mengorbankan binatang "an-am" dengan rasa gembira, tetapi terpaksa di sambut dengan kepiluan dan kesayuan apabila ada saudara serta rakan taulan terkorban dek kerana peristiwa tragis yang menimpa. Apakah dan siapakah yang dipersalahkan?

Sejak hari tragedi tersebut sehingga ruangan ini ditulis media massa masih lagi hangat membincangkan tajuk "Tanah Runtuh" seperti dalam WHI TV3 jam 12 sebentar tadi. Cuma pengacara suka saya istilahkan "berpakaian tetapi bertelanjang" yang bijak berceloteh mengeluarkan satu istilah yang tidak tepat iaitu menderhaka kepada Alam Sekitar. Suka saya perbetulkan bahawa sebagai pengacara media maklumat utama seperti TV3 bukan sahaja perlu kepada bijak berkata-kata, tetapi perlu bijak memilih istilah yang tepat supaya penerima maklumat tidak salah faham. Bahkan dibimbangi pelajar-pelajar di sekolah akan menggunakan istilah yang salah ini kononya untuk menambah dan memantapkan karangan mereka. Lebih tepat dan indah bahasa dan adab beragama jika si pengacara tersebut memperbetulkan istilah tersebut seperti menderhaka kepada Maha Pencipta atau lebih bersifat mendidik jiwa manusia ke arah mengingati tuhan. Mungkin ada rasa takut nak mengaitkan dengan hal ketuhanan kerana bimbang ada respon "yang mengacara pun tak pakai tudung, tak tutup aurat! pandai pulak nak berdakwah kepada orang!!!!". Bagi mengelak kutukan begini eloklah mula belajar pakai tudung macam Wardina atau macam Fifi, Farah Adiba dan ramai lagi pengacara-pengacara yang bertudung, barulah nampak macam wanita Islam (Muslimah).

Berbalik kepada tajuk "Tanah Runtuh", sepanjang tragedi tempoh hari hingga hari ini masih belum ada respon yang membincangkan isu ini dengan cara bermuhasabah kembali apakah ini adalah ujian Allah atau merupakan Bala daripada Allah?.

Orang beriman apabila ditimpa musibah maka ia akan kembali mengingati Allah dan berkata "Innalilahiwainna ilaihi raji'un". Bahkan mereka berasa bersyukur kerana diuji supaya mereka sentiasa mengingati Allah. Malahan Allah melindungi golongan-golongan yang sentiasa mengangati Allah dan memohon perlindungan dari-Nya sepanjang masa, kerana mereka adalah orang-orang yang sentiasa bersyukur dan mereka percaya janji Allah di dalam al-Quran yang bermaksud "Sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku tambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu, dan sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih".

Tetapi tidak hairan juga apabila ada yang mengatakan tragedi Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa merupakan Bala daripada Allah. Kemungkinan besar sudah tentu ada, daripada penilaian umum sendiri masyarakat awam sudah dapat meneka golongan manakah yang menjadi penduduk di kawasan tersebut. Kalau banglo yang dibina di situ mencecah ratusan ribu hingga ada jutaan ringgit dan kereta-kereta mewah mendepani banglo-banglo yang terhias indah.Pemilik-pemiliknya tentulah bukan peneroka tanah rancangan atau guru dan posmen yang pendapatnnya sekitar RM 800 hingga RM 2,000 sebulan. Sudah pasti mereka yang hidupnya mewah seperti artis, yang berpangkat Dato' dan "kroni-kroni mereka" yang berjaya mendapat kontrak jutaan ringgit. Siapa "mereka"? anda tekalah sendiri sebab kita bukan nak mengata tetapi nak buat sedikit "post-moterm" kejadian Tanah Runtuh dan Aqidah Runtuh.

Sama-sama kita renungkan adakah bencana sebigini merupakan kemurkaan Allah? Dalam kehidupan masyarakat Islam Malaysia yang lalai dengan momokan hedonisme, leberalisme dan pluralisme, pasti mereka yang sedar akan mengiyakan telahan begini. Kemurkaan Allah terhadap manusia cukup besar dan berat bagi orang yang berfikir, sebabnya masing-masing punya jawapan tersendiri.

Allah boleh menarik nikmat yang dikurniakan-Nya sekelip mata, harta jutaan ringgit yang dikumpul berpuluh tahun musnah tanpa amaran. Alangkah baik jika yang merasakan azab dunia yang sedikit ini berfikir "apakah semua ini balasan Tuhan kerana aku tidak mengeluarkan zakat yang dari harta yang melimpah ruah?" ataupun "mungkinkah semua ini merupakan balasan Allah kerana tidak berlaku jujur dalam perniagaan selama ini?". Jika mereka mengingati Allah sekalipun dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring bahkan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, tidak kira sama ada ia adalah malapetaka yang tidak diduga maka mereka ini barulah layak digelar orang yang benar-benar beriman.

Apa yang membimbangkan dan perlu difikirkan juga adakah tragedi ini sebagai amaran Allah kepada kita umat Islam di Malaysia supaya beringat tentang azab-Nya di dunia, jika benarlah ini merupakan bala Allah maka yang akan menanggugnya bukan sahaja yang membuat dosa bahkan yang tidak berdosa juga akan menerima akibatnya. Apabila kita muhasabah kembali dengan mengimbau sejarah tragedi-tragedi yang lalu mengapa peristiwa ngeri seumpama ini sering berlaku pada hujung tahun? Mungkinkah ia sebagai balasan akibat kemungkaran yang kita redhai sepanjang tahun? atau adakah ia sebagai petanda awal agar kita cepat-cepat bertaubat dari terus membiarkan maksiat pada malam krismas dan sambutan Tahun baru?

Oleh itu kita fikirkan bersama seterusnya kembalilah ke jalan yang diredhai Allah dengan memperbetulkan Aqidah dan memantapkan keimanan kita, dengan meninggalkan segala kemungkaran dan kejahilan yang bersifat duniawi. Ingatlah, jangan korbankan Aqidah, jangan korbankan keimanan dan jangan korbankan Agama Allah sekalipun darah serta nyawa akan terkorban..AllahuAkbar! AllahuAkbar! AllahuAkbar! WalilLahilhamd...

Tiada ulasan: