Isnin, 16 Ogos 2010

HAKIKAT KEMULIAAN


Firman Allah di dalam al-Quran maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. (Surah Al-Hujarat: 13)

Kemuliaan sebenarnya bukan datang dari pujian dan sanjungan tetapi kemuliaan itu anugerah Allah yang sangat tinggi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Jika manusia itu dimuliakn oleh orang ramai belum tentu lagi kemuliaan itu bersifat kekal dan abadi, mungkin ia disanjungi disebabkan hartanya, pengaryhnya mahupun kerana takutkan kuasanya sahaja. Jika kita berusaha untuk mencari kemuliaan makhluk maka akan kita perolehi sebenarnya hanyalah kepura-puraan.

Kemulian itu hanya berlaku apabila kita melepaskan segala-galanya bagi mencari "redha" Allah dengan tidak lagi mengharap pujian dari orang yang memuji. Siapa jua boleh menilai kita sama ada kita orng cemerlang atau pun kecundang, tetapi penilaiaan pada kaca mata manusia ternyata sangat lemahdan berubah-ubah dari masa ke semasa. Mungkin hari ini kita dianggap berjaya tetapi esok pula kita dianggap gagal dan hari seterusnya mungkin pula sebaliknya.


Paling mudah untuk kita fahami bahawa kemuliaan itu datang dari sumber yang satu lagi mutlak iaitu dari Allah semata-mata. Allah boleh memberikan kemuliaan dan kehinaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan hanya Allah sahaja yang mengetahui kenapa terjadinya demikian. Kita sudah tentulah berdoa terus agar Allah memandang kita dalam pandangan rahmatNya dan sekali-kali jangan berputus asa denganNya.

Tiada ulasan: