Khamis, 4 Disember 2008

Antara fatwa ulama dan bukan ulama: Siapa betul?

Syukur alhamdulilLah dirafakkan kerana langit yang dijunjung sekarang ini masih berbumikan sebuah negara yang masih ada ulama-ulama yang soleh, buktinya kerana masih ada saf-saf ulama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), pemikir-pemikir Islam di pusat pengajian tinggi dan pelbagai NGO yang dibarisi oleh mereka yang layak bergelar ulama. Namun tidak dinafikan juga ramai juga yang layak bergelar "Ulam mamak" atau "Ular dalam semak" berlagak macam ulama, ntah siapalah agaknya? kita cuba fahami selepas ini. Tungguuuu...

Rasa seperti terlewat untuk mengomen hal berkaitan fatwa yang diwar-warkan oleh media hujung Nov lalu, namun lewat bukanlah alasan asalkan maklumat disampaikan, iaitu berkaitan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pengharaman senaman Yoga, fatwa tersebut diputuskan kerana dibimbangi masyarakat Islam yang beramal dengan senaman tersebut akan terbabit dengan perkara khurafat. Nipis pengetahuan sesetengah pihak tentang peringkat-peringkat dalam senaman ini, dimana ada peringkat menerapkan unsur-unsur mentera yang akan dimasukkan dalam perlakuan senaman ini, sudah tentu ia boleh membawa kepada syirik dan khurafat.

Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa bukan mudah untuk diputuskan melainkan ia telah dikaji terlebih dahulu secara mendalam tentang hal yang akan difatwakan. Hakikatnya ia perlu dikaji setiap aspek berkaitan senaman tersebut, bukan semata-mata melihat kepada kebaikan senaman tersebut tetapi kesan-kesan yang lain, terutama berkaitan apa kesannya terhadap Aqidah umat Islam dewasa ini. Saya suka ulangi iaitu apakah kesannya terhadap Aqidah umat Islam dewasa ini?!. Kebangangan setengah mereka yang meminta fatwa tersebut ditarik balik dan meminta pihak Majlis Fatwa Kebangsaan memohon maaf kepada masyarakat, ini menunjukkan kejahilan sebenar mereka tentang agama Islam. Apatah lagi jika mereka adalah pemimpin yang beragama Islam, jelaslah kepondanan dan kedayusan mereka apabila agama sendiri tidak reti untuk dibela serta dipertahankan.

Syirik dan khurafat adalah persoalan Aqidah, di mana Aqidah menjadi teras dan tunjang kepada Islam. Seterusnya diperbincangkan perkara-perkara yang bersangkutan fekah (fiqh). Jadi, buat rakan seIslam yang tidak faham, fahamilah bahawa perkara utama perlu dititik beratkan adalah Aqidah terlebih dahulu, disamping itu turut diselarikan dengan hal-hal berkaitan fekah. Mungkin desebabkan kejahilan tentang yang manakah lebih utama, maka para jahil "murakkab" ini melihat isu Yoga merupakah hal-hal remeh temeh sahaja sedangkan ia berkaitan asas dan tunjang agama Islam.

Secara pribadi saya melihat kepentingan Fatwa pengharaman senaman Yoga ini adalah tepat pada waktunya, terutama ketika ramai yang telah lupa apakah itu "fatwa"?, dari situ ramailah umat Islam yang mungkin dah terlupa asal agamanya mula menyelak semula kamus untuk mencari maksud "fatwa", sekurang-kurangnya ia menjadi titik mula untuk kembali kepada agama Islam.

Apa yang dikesalkan ialah apabila ada pihak yang tiada autoriti dalam bidang agama cuba menolak fatwa tersebut, meskipun berkedudukan tertinggi sebagai pemimpin utama tetapi ia bukanlah tiket untuk mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, melainkan memang layak dikategorikan sebagai ulama. Inilah yang terjadi dewasa ini sebagai membuktikan sabda baginda Nabi s.a.w yang bermaksud ".......Apabila disoal tentang urusan agama (bukan pada ulama) dan ia berfatwa maka ia berfatwa dengan fatwa yang sesat lagi menyesatkan".

Mungkin kerana terlalu jahil pihak-pihak tertentu menyalah tafsirkan fatwa tersebut, disebaliknya saya melihat fatwa tersebut sangat relevan sebagai langkah mencegah Muslim yang tidak tahu tentang senaman ini atau apa jua jenis senaman yang diragui bersikap berhati-hati. Kalau dalam bahasa Inggeris kita pernah mendengar ungkapan "The prevention is better then cure" sebenarnya konsep ini lebih awal diketengahkan oleh ahli Fekah dalam perbincangan dalam ilmu "al-Qawaid al-Fiqhiyyah" iaitu mencegah lebih baik daripada mengubat, dengan cara menutup jalan yang boleh menyebabkan berlakunya salah laku yang merosakkan Aqidah.

Persoalan sama ada fatwa tersebut perlu diwartakan terlebih dahulu di setiap negeri dan hanya boleh diguna pakai adalah perkara kedua, perkara pertama dan perlu diutamakan di manakah sikap kita sebagai Muslim meletakkan rasa hormat terhadap kredibiliti saf Ulama yang memutuskan fatwa tersebut, fatwa tersebut bukan difatwakan ketika minum di kedai kopi tepi jalan atau ketika bermain dam, tetapi ia telah dikaji dan diperhalusi terlebih dahulu sebelum ia difatwakan. Dimanakah diletakkan rasa "thiqah" (kepercayaan) kepada barisan Ulama yang berada di dalam Majlis Fatwa Kebangsaan apabila mereka yang dangkal ilmu agamanya berani menolak fatwa tersebut mentah-mentah?

Tiada ulasan: